
Waspasda sindiket lantikan berbayar ke dalam perhidmatan awam

KUALA LUMPUR (3 FEB): Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) menafikan telah menawarkan perkhidmatan berbayar kepada mana-mana individu untuk dilantik ke dalam perkhidmatan awam.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan semalam, SPA telah menerima aduan mengenai sindiket penyamaran sebagai Ahli Suruhanjaya dan pegawai pengurusan tertinggi SPA yang menawarkan perkhidmatan berbayar kepada orang awam untuk dilantik ke dalam perhidmatan awam.
Jelasnya lagi, sindiket penyamaran yang dikesan ini aktif dalam platform Telegram atau platform media sosial lain dengan menggunakan nama dan gambar Ahli Suruhanjaya atau pegawai pengurusan tertinggi SPA bagi memperdayakan mangsa.
“Pihak SPA memandang serius perkara ini dan laporan polis telah dibuat supaya pihak yang tidak bertanggungjawab dikenakan tindakan undang-undang.
“SPA mengingatkan dan menasihatkan calon supaya berwaspada serta tidak terpedaya dengan jerat sindiket ini,” katanya dalam satu kenyataan lewat Khamis.
SPA turut menegaskan, permohonan pekerjaan dibuat sepenuhnya melalui Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA9) dan tidak melibatkan campur tangan mana-mana pihak atau pengaruh.
Tambahnya, calon boleh terus memohon melalui SPA9 kerana tiada bayaran dikenakan bagi permohonan kemasukan ke perkhidmatan awam.