Waris Muhammad Atta mangsa pengabaian diminta tampil di Kinabatangan

SEYBI SABBY

editor@bayunews.net

KINABATANGAN (21 NOVEMBER): Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) ketika ini sedang mengesan waris kepada seorang kanak-kanak lelaki yang menjadi mangsa pengabaian, dekat sini hari ini.

Pelindung Kanak-kanak dari Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am, Daerah Kota Kinabatangan Musminah Mustain berkata, pihaknya menjalankan siasatan terhadap kanak-kanak malang bernama Muhammad Atta (1 tahun 5 bulan) yang dilahirkan pada 4 Mei 2021 telah dijaga oleh Nur Intan Nurain (pengadu).

Difahamkan pengadu telah membuat laporan polis pada 3 Ogos lepas dan menyatakan ibu kandung kanak-kanak itu bernama Nur Anna Bani yang berbangsa Suluk menetap di Kampung Inanam Laut, Kota Kinabalu.

Ketika diserahkan Muhammad Atta baru saja berusia 1 hari.

Masalah kewangan yang dihadapi menyebabkan ibu kandung telah memberi kanak-kanak itu kepada pengadu atas persetujuan kedua-dua belah pihak.

Namun begitu, sehingga ke hari ini waris kanak-kanak berkenaan gagal untuk ditemui mahupun dihubungi.

Diminta waris kepada kanak-kanak lelaki itu segera tampil membantu siasatan bagi memudahkan segala urusan berkaitan kanak-kanak berkenaan.

Kes ini sedang diambil tindakan di bawah Seksyen 17(1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016).

Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Musminah di pejabatnya di Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am, Daerah Kota Kinabatangan, Bangunan Urusetia, Aras Bawah WDT 3, Kota Kinabatangan melalui talian 089-561873.