Warga asing miliki MyKad palsu dipenjara 24 bulan di Kota Kinabalu

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (17 MAC): Seorang lelaki warga asing berusia 42 tahun dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret, dekat sini hari ini, selepas didapati bersalah memiliki MyKad palsu.

Tertuduh, Mohamad Adzlan Said, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Adzlan ditahan ketika Operasi Terancang Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah di Sinsuran, Blok 1, di sini, jam 9.30 pagi, semalam kerana disyaki memiliki MyKad palsu atas nama Mohamad Adzlan Bin Said.

Hasil semakan kedua-dua jari tertuduh dibuat mendapati cap ibu jari tertuduh tiada dalam rekod JPN.

Semakan lanjut Bahagian Kad Pengenalan JPN Sabah mendapati nombor MyKad itu tidak wujud di dalam sistem JPN.

Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan dari tarikh tertuduh ditahan dan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Mohd Naser Mohd Nadzeri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.