Wanita parah kereta rempuh lori terbakar

RANAU: Seorang wanita mengalami kecederaan parah selepas kenderaan jenis sedan yang dinaiki merempuh sebuah lori di sebuah resort di Bundu Tuhan di sini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pertembungan kedua-dua kenderaan pada jam 3.10 petang itu juga menyebabkan kereta jenis sedan terbakar.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau digerakkan ke lokasi bersama jentera bagi melakukan operasi penyelamatan.

“Semasa ketibaan pasukan bomba di lokasi, kenderaan jenis sedan sedang terbakar dan operasi pemadaman dilaksanakan menggunakan sumber air dari jentera,” katanya.

Beliau berkata kebakaran berjaya dikawal bagaimanapun kejadian memusnahkan 95 peratus kenderaan terbabit.

“Seorang wanita yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Ranau menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya sambil menambah operasi keseluruhan ditamatkan jam 4.18 petang.

Dalam kejadian berasingan pasukan bomba turut menjalankan operasi memadam kebakaran membabitkan sebuah kenderaan jenis kompak di Kampung Kebanau Kuala Penyu.

Kejadian jam 5.20 petang itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan serta kejadian tidak diingini.

Sumber : Utusan Borneo