Wanita maut kereta terbabas sendiri

KOTA BELUD (12 SEPT): Seorang wanita maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas sendiri dalam kemalangan di jalan Kampung Taginambur dekat sini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 pada jam 10 malam tadi berhubung kejadian itu.

Katanya, mangsa yang berumur 36 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, selepas memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 2.20 pagi tadi.

Sumber: Utusan Borneo