
Wanita mangsa rompakan cedera di leher meninggal dunia di Tawau

Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
TAWAU (16 DIS): Wanita berusia 30 an dijumpai meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa samun berlaku di Kampung Titingan, dekat sini semalam.
Kejadian kira-kira jam 7 malam itu menemukan mayat wanita cedera di bahagian leher disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
Difahamkan mangsa bersama anaknya berumur satu tahun itu menuju ke rumah kakak mangsa untuk mengambil sayur yang terletak di seberang jalan rumah sewa mereka.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Superintenden Champin Piuh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.30 malam.
Katanya, mangsa dipercayai disamun ketika berada di satu lorong gelap sebelum berlaku pergelutan sehingga bahagian leher mangsa dicederakan menggunakan objek tajam.
“Mengikut saksi iaitu anak mangsa, rantai leher dan anting-anting emas yang dipakai ibunya hilang ketika mayatnya ditemukan,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian, di sini semalam.
Menurutnya, siasatan polis lebih menjurus kepada pelakunya dan mengesan suspek yang terlibat dengan kes bunuh tersebut.
“Kami mendapati suspek mengambil kesempatan menyamun mangsa kerana lokasi kejadian yang gelap dan tiada rumah yang berdekatan.
Siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu.