Wanita dicekup polis disyaki berkomplot bunuh suami
KLANG (20 SEPT) : Dendam dipercayai menjadi motif seorang wanita merancang pembunuhan suaminya yang maut ditikam lebih 14 kali di rumah mereka di Taman Aneka Baru, Sungai Udang di sini, Khamis lalu.
Nyawa mangsa berusia 41 tahun itu melayang selepas suspek disyaki mengupah beberapa lelaki untuk berpura-pura merompak dan membunuhnya.
Helah licik wanita tempatan berusia 37 tahun itu bagaimanapun terbongkar selepas dicekup polis pada hari kejadian.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, polis ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan mengenai pergaduhan sekumpulan individu dan seorang lelaki terbaring berlumuran darah di rumah itu pukul 2.14 pagi.
Kata beliau, siasatan awal menerusi keterangan isteri mangsa mendapati, dua lelaki bertopeng memasuki pintu depan dengan bersenjatakan pisau lalu menikam lelaki itu.
“Suspek dikatakan menggeledah bilik dan mengambil pelbagai beg tangan berjenama, barang kemas dan wang tunai berjumlah RM40,000.
“Wanita itu mendakwa suspek melarikan diri dengan sebuah kereta BMW dan nilai kerugian dianggarkan RM100,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini, semalam.
Jelas Arjunaidi, siasatan lanjut bagaimanapun membongkar kejadian sebenar apabila isteri mangsa dipercayai membuat perancangan dan persiapan untuk pembunuhan suaminya sendiri.
“Wanita itu memberi maklumat mengenai individu yang terlibat dan dia bersama empat lelaki berusia 20 tahun hingga 36 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Mereka ditahan secara berasingan di sekitar Klang dan Negeri Sembilan selepas kejadian bunuh itu,” ujarnya.
Beliau berkata, polis turut merampas BMW yang digunakan suspek selain beg tangan dan barang kemas yang dilarikan ketika kejadian.
“Kesemua suspek termasuk empat yang memiliki pelbagai rekod jenayah lampau direman lima hari bagi membantu siasatan. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu membunuh serta rompakan berkumpulan bersenjata,” katanya.
Tambah Arjunaidi, motif kejadian dipercayai mempunyai unsur dendam dan kepentingan diri.
“Polis mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat lebih 14 tikaman di badan dengan senjata tajam. Siasatan masih dijalankan dan akan dilengkapkan dalam tempoh terdekat sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia