Van pelancong bertembung dengan lori, pemandu tersepit terselamat

editor@bayunews.net

RANAU (3 MAC): Kemalangan kenderaan bertembung melibatkan van pelancong dengan sebuah lori di Kilometer 3 Jalan Ranau-Kundasang berhampiran Kampung Kibbas mengakibatkan sekurang-kurangnya tujuh orang cedera termasuk lima pelancong, di sini.

Difahamkan, kejadian pada jam 10.30 pagi itu berlaku ketika sebuah van yang membawa pelancong tempatan dan Korea serta China sedang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Stesen Mata Air Panas Poring telah merempuh sebuah lori dari arah Ranau menuju ke Kundasang.

Menurut Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Simium Lomudin berkata pemandu van berumur 40an dipercayai telah masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh bahagian hadapan lori.

Jelasnya lagi, jarak yang terlalu dekat membuatkan pemandu lori cuba mengelak ke kiri jalan namun gagal dan mengakibatkan pertembungan kedua-dua kenderaan berlaku.

“Rempuhan itu telah menyebabkan pemandu van berkenaan telah tersepit dan berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau.

“Hasil siasatan lanjut mendapati pemandu van berkenaan dipercayai mengantuk dan terlelap.

“Sementara pemandu lori dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Ranau untuk rawatan susulan,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod kes disiasat mengikut kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.