USIA sokong usaha Malaysia Madani selari dengan hala tuju Sabah

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (9 MAC): Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) menyokong penuh usaha Malaysia Madani selari dengan tuntutan dan kehendak agama sekaligus menepati hala tuju negeri ini.

Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad berkata konsep Malaysia Madani seiring dengan pembangunan negeri ini melalui slogan Sabah Maju Jaya (SMJ) di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Katanya, USIA meletak keyakinan gabungan konsep dan prinsip berkenaan mampu membangunkan Sabah dengan lebih pantas.

Beliau berucap begitu dalam majlis penangguhan Forum Malaysia Madani-Keharmonian Dalam Kepelbagaian yang disempurnakan Ketua Menteri di Sabah International Convention Centre (SICC), dekat sini hari ini.

Forum tersebut merupakan anjuran bersama USIA dan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas).

Sapawi berkata objektif utama forum itu ialah melestarikan masyarakat yang berilmu pengetahuan melalui perbincangan ilmiah dan interaksi serta ruang yang selesa bagi mengemukakan saranan dan pendapat tanpa membezakan suku, ras dan agama.

Sapawi berkata forum itu juga bermatlamat untuk menyuburkan masyarakat yang beradab dan berilmu dengan nilai-nilai kemanusiaan bagi menjamin keseimbangan antara kebebasan individu dan kestabilan negara serta masyarakat. 

Menurutnya USIA bercadang untuk menganjurkan Forum Malaysia Madani di enam zon di seluruh Negeri Sabah.

Zon terbabit ialah Zon Tawau, Zon Sandakan, Zon pantai Barat Utara, Zon Pedalaman Atas dan Zon Pedalaman Bawah. 

Sapawi berkata penganjuran forum itu akan diadakan secara kolaborasi dengan jabatan-jabatan serta agensi-agensi kerajaan negeri Sabah.

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Malai Ali Malai Ahmad.