Pusat Latihan Dakwah USIA Kota Marudu bakal jadi pusat latihan TVET Julai ini

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (27 MAC): Pusat Latihan Dakwah Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) di Marasinsim Kota Marudu bakal menjadi pusat latihan TVET mulai Julai ini.

Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad berkata kerjasama pihaknya dengan Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) itu melibatkan bidang Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada para lepasan pusat tahfiz Al-Quran di seluruh Sabah.

“Usaha membangunkan pusat latihan kepada para lepasan tahfiz ini bagi membolehkan mereka mendapatkan peluang memajukan diri dalam bidang teknikal sekali gus memudahkan golongan ini mendapat peluang pekerjaan lebih meluas.

“Diharap kerjasama bersama NGO ini selaras dengan pelan strategik USIA yang mana sedang berusaha membugar atau membangun semula pertubuhan yang sudah menjangkau 54 tahun ini menjadi kembali bersinar semula,” katanya kepada media pada Majlis Ihya Ramadhan Berbuka Puasa Bersama ASNAF anjuran Wanita USIA disini, pada Sabtu.

Dalam majlis tersebut, Sapawi turut menyampaikan sumbangan berupa telekung, sejadah, kurma dan sejumlah wang kepada 40 penerima daripada golongan asnaf dari Sipitang, Tuaran, Papar, Beaufort, Kota Kinabalu, Kota Belud dan Ranau.-Japen