USIA komited laksana transformasi capai kegemilangan pentas dakwah di Sabah

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (17 DIS): Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi Hj Ahmad menyatakan USIA  terus komited melaksanakan transformasi dalam mencapai visi dan misi demi mengembalikan kegemilangan pertubuhan itu.

Jelasnya, transformasi bukan hanya dari aspek sistem pengurusan dan pentadbiran, bahkan meliputi soal pembangunan ekonomi, penjanaan pendapatan, pembangunan sumber manusia dan Pendidikan.

Tambah beliau, Pelan Strategik Pembugaran USIA 2022-2024 adalah selaras dengan keperluan untuk melangkah ke hadapan, memperkasa dan mengembalikan kegemilangan USIA, berucap ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Perwakilan USIA ke-36 Tahun 2021 di sini, semalam.

“USIA ibarat sebuah permata yang sangat tinggi nilainya. Walaupun kegemilangan USIA tidak pernah luntur dan padam, tetapi ada kalanya ia menjadi kabur. 

“Kekaburan yang menyelubungi USIA itu sangat perlu untuk digilap supaya USIA kembali bersinar.  Inilah yang saya dan rakan-rakan kepimpinan akan lakukan bersama-sama supaya USIA kembali gemilang, sama dengan kejayaanya di tahun-tahun awal penubuhan.

“Bagi saya, USIA hanya akan menjadi tidak signifikan dan tidak relevan apabila kita hilang fokus, tiada inisiatif baharu dan tiada iltizam yang kuat untuk melangkah ke hadapan,” katanya.

Justeru, Sapawi memilih konsep `Bekerja bersama dengan saya’ sebagai salah satu panduan bagi memastikan USIA terus gemilang dan relevan dalam pentas dakwah di Sabah dan Malaysia keseluruhannya.

Dalam ucapannya, beliau turut mengajak ahli USIA bersama-sama merealisasi dan menterjemahkan Pelan Strategik Pembugaran USIA 2022-2024 untuk memperkasakan semula USIA.

 Beberapa pemimpin dan ahli USIA diberikan sijil penghargaan pada majlis itu, kemudian disusuli acara memotong pulut kuning.

Katanya, walaupun pelan strategik itu adalah ilham beliau cetuskan, namun ianya telah sama-sama diterjemahkan untuk menjadi kenyataan peserta bengkel khas yuang diadakan.

Pada majlis sama, Sapawi turut mengumumkan penubuhan Puteri USIA sebagai bukti komitmen serius dalam meremajakan pertubuhan itu.

“Tujuan menubuhkan Puteri USIA adalah untuk menyokong dan menokok tambah peranan Belia dan Wanita USIA,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Program Perkasa Belia bertujuan meremajakan USIA dengan gerakan program serta aktiviti Belia USIA, dan Program Perkasa Wanita bagi mendekati dan menyantuni masyarakat melalui program dan aktiviti Wanita USIA terus diperhebatkan.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Yang Dipertua USIA, Datuk Haji Abdul Hakim Haji Gulam Hassan dan Datuk Haji Alipudin P.Puyon, Setiausaha Agung Iman Ali, Ketua Penerangan Datuk Abdullah Hussin dan Ketua Belia USIA, Jamawi Haji Jaafar.