![](https://borneotimes.net/wp-content/uploads/2022/12/kg-marasismsim.jpg)
USIA adakan ziarah ke rumah pewakaf tapak tanah Pusat Latihan Dakwah USIA-Albukhary
![avatar](https://borneotimes.net/wp-content/uploads/2024/01/bt-favicon-40x40.png)
Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
KOTA MARUDU (6 DIS): Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Pusat melakukan program ziarah ke rumah Ali Akhbar Olong yang terjejas akibat dilanda ribut di Kampung Marasinsim, Kota Marudu dekat sini, semalam.
Beliau yang merupakan pewakaf tapak tanah Pusat Latihan Dakwah (PLD) USIA-Albukhary itu menerima kunjungan ziarah USIA apabila rumahnya musnah dalam kejadian ribut pada 24 November lalu.
Program ziarah itu diketuai oleh Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Hj Ahmad bersama beberapa ahli jawatankuasa USIA Bahagian Kota Marudu.
Usia turut menyerahkan sedikit sumbangan wang tunai kepada Ali Akhbar bagi meringankan beban beliau dan keluarga.
Sapawi berkata pahala mewakafkan tanah untuk pembinaan institusi agama amat besar ganjarannya dan ia mengalir bagaikan sungai tanpa henti.
“Kita rasa bersyukur kerana tanah yang diwakafkan oleh beliau membantu meringankan beban USIA mendapatkan tanah untuk membina PLD ini.
“Kami berdoa agar amal jariah yang beliau (Ali Akbar) telah sumbangkan diberikan ganjaran bak sungai yang mengalir selama pusat latihan itu dimanfaatkan oleh masyarakat setempat,” katanya.
Mengenai bencana ribut yang melanda, Sapawi berharap keluarga berkenaan tabah menghadapinya.
“Ribut ini ujian daripada Allah Ta`ala, kita sebagai hamba perlu bersabar menempuhi ujian dan pasti ada hikmah di sebalik ujian tersebut,” katanya.
Ketika dalam perjalanan balik, rombongan USIA itu sempat singgah di PLD dan melihat keadaan pagar yang rosak akibat dilanda ribut berkenaan.