
UMS Tekad Perbaiki Kedudukan Penarafan Bintang MyRA

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertekad untuk terus memperbaiki
kedudukan penarafan bintang dalam Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) yang dijalankan
oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Terbaru, Pusat Pengurusan Penyelidikan UMS telah mengadakan sesi dialog awam MyRA
bertajuk ‘6 Stars, The Quality of Being Wise’ oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan
Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly.
Program tersebut diadakan bagi menetapkan hala tuju dan rangka kerja yang dapat
membawa UMS meraih enam bintang pada penilaian MyRA menerusi penyelidikan, inovasi
serta hubungan antarabangsa.
Menurut Rosalam, UMS harus memperbaiki mutu penyelidikan sedia ada dan memastikan
hasil penyelidikan dan inovasi dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
“Hasil penyelidikan dan inovasi yang kita hasilkan harus memberi manfaat kepada kehidupan
masyarakat dan pembangunan negara. Ia penting untuk mendapatkan trust (kepercayaan)
daripada pihak kerajaan, industri dan masyarakat.
“Kita juga perlu memperbanyak lagi hubungan antarabangsa bersama rakan industri dan
rakan universiti di luar negara. Ini selari dengan visi UMS untuk menjadi sebuah universiti
berinovatif yang bertaraf dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog awam yang diadakan bersama kakitangan dan para
penyelidik UMS di Auditorium Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, baru-baru
ini.

Tambah Rosalam para penyelidik UMS perlu menjadi barisan hadapan kepada msyarakat
dengan mempraktikkan ilmu, pengalaman serta rasional dalam mencorakkan masa depan
negeri ini dan Malaysia, secara amnya.
“Kita mahu bila orang awam dan pelajar datang ke UMS, mereka nampak masa depan yang
lebih baik. Kita mahu para graduan kita dapat peluang kerjaya yang baik dan berkhidmat
kepada masyarakat dengan lebih baik.
“Kita semua perlu bersedia untuk berubah dan membawa UMS ke hadapan. Perubahan
bukan hanya dari yang dahulu kepada akan datang tapi bagaimana memperbaiki apa yang
telah kita hasilkan sebelum ini,” tambahnya.
Pada dialog tersebut, Rosalam turun mengucapkan tahniah kepada para penyelidik UMS
yang berjaya mendapat Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) bagi tahun 2022
daripada KPT.
Sebanyak 30 projek penyelidikan UMS berjaya mendapat geran FRGS dengan jumlah
keseluruhan RM3,941,722.
Sumber: UMS