UMNO sokong ambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan

editor@bayunews.net

KUALA LUMPUR (24 NOVEMBER): UMNO menyokong dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar Barisan Nasional (BN) mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia adalah bagi memastikan sebuah Kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk.

“Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengambil maklum dan memperhalusi segala butiran kedua-dua perbincangan yang telah dijalankan oleh Jawatankuasa Perundingan BN dengan Pakatan Harapan (PH) dan PN.

“MKT secara sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya BN menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui oleh PN bagi memastikan sebuah Kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Ahmad Maslan berkata, MKT juga bersetuju semua wakil-wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk mematuhi dan menerima sebarang bentuk Kerajaan Perpaduan atau lain-lain bentuk Kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, MKT turut memperkukuhkan sokongan terhadap Presiden UMNO Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk terus kekal menerajui sebagai Pengerusi BN dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden UMNO Malaysia.

“Dimaklumkan juga bahawa Perhimpunan Agung UMNO untuk tahun 2022 ini ialah pada 21-24 Disember 2022,”‘ katanya.