Tukang kayu rogol anak kandung hingga melahirkan dikena 10 sebatan

editor@bayunews.net

KUCHING (25 OKT): Sejak kebelakangan ini gangguan seksual dalam institusi kekeluargaan semakin ditahap membimbangan.

Semalam tukang kayu dan pereka rumah merogol anak kandungnya berusia 12 tahun sehingga melahirkan anak dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan di Mahkamah seksyen dekat sini.

Hakim Jason Juga memerintahkan hukuman penjara bagi tukang kayu dan pereka rumah yang bekerja sendiri itu, 45, dikuatkuasakan mulai kelmarin.

Beliau menetapkan demikian terhadap tertuduh selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Jason berkata selepas mendengar dan meneliti secara maksimum hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, beliau memutuskan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan pertuduhan melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan yang dipinda semula (re-amended charge), lelaki itu didakwa merogol mangsa yang berusia 12 tahun pada waktu kejadian di kediaman mereka di Batu Kawa, antara 1 Jun dan 30 Jun 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun dan boleh disebat minimum 10 sebatan.

Tertuduh merupakan seorang duda dan bapa tunggal kepada dua anak perempuan, masing-masing berusia 12 tahun (mangsa) pada waktu kejadian (2019) manakala seorang lagi anak perempuannya berusia sembilan tahun.

Difahamkan, laporan polis dibuat oleh seorang doktor yang mendapati mangsa mengandung pada waktu kejadian.

Selain itu, difahamkan juga, mangsa bersama adik perempuannya kini dikatakan berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Kes yang dibicarakan sekitar tahun 2019 itu menyaksikan pihak pendakwaan memanggil sejumlah lapan saksi untuk memberikan keterangan.

Sementara pihak pembelaan memanggil seorang saksi iaitu tertuduh sendiri.

Mangsa juga katanya, kini menanggung kesan daripada perbuatan tertuduh iaitu telah menjadi seorang ibu pada umur yang sangat muda.