Tugas ini satu amanah yang besar, mencabar – Armizan

Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (4 Dis) : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Armizan Mohd Ali menganggap portfolio yang diamanahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu amanah besar dan mencabar.

Katanya, tugas yang diamanahkan itu juga merupakan satu tanggungjawab yang menarik kerana ia merupakan perjuangan beliau sejak terlibat dalam arena politik.

“Tugas ini dilihat mencabar kerana selain pengalaman pertama berada dalam Kabinet Persekutuan, saya juga diberikan portfolio yang berkait langsung dengan suara hati Rakyat Sabah dan Sarawak sejak sekian lama.

“Aspirasi borneo yang mengharapkan kedua-dua wilayah ini diberikan perhatian dan pengiktirafan yang sewajarnya dalam agenda mengisi serta memperkukuhkan kelestarian Persekutuan Malaysia.

“Antara agenda utama adalah untuk menyusul agenda yang berteraskan Perjanjian Malaysia (MA63),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Armizan berkata, beliau turut bersyukur kerana telah mendapat pendedahan dan terlibat dalam perihal tanggungjawab ini semasa berkhidmat di Pejabat Ketua Menteri Sabah sejak tahun 2020 di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, beliau turut mendapat pengalaman bekerjasama dengan pasukan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) sebelum ini dibawah kepimpinan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

“Saya yakin sedikit pengalaman ini akan dapat membantu pelaksanaan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai Menteri di portfolio ini dibawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.