Tiga suspek samun bersenjata berjaya ditahan

TAWAU: Tiga lelaki tempatan disyaki terlibat dengan kes samun bersenjata berjaya ditahan secara berasingan di kawasan Inderasabah dan Balung, di sini pada Rabu.

Ketiga-tiga suspek itu ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 6.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan awal, kesemua suspek terbabit melakukan jenayah itu terhadap seorang lelaki, pada 23 Ogos lalu.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi, ketika mangsa sedang tidur di rumah didatangi tiga lelaki bersenjatakan parang sebelum mengikat kaki dan tangan mangsa.

“Ketiga-tiga suspek terbabit, kemudiannya melarikan barang-barang peribadi dan barang kemas mangsa yang dianggarkan bernilai RM90,000,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Katanya, susulan kejadian itu, polis segera melancarkan operasi bagi mengesan suspek dan berjaya menahan suspek pertama di sebuah rumah tidak bernombor di Ladang 60 Inderasabah.

“Dua lagi suspek ditahan di dua lokasi berasingan di Kampung Rancangan Batu 22 Balung serta merampas beberapa barang yang disyaki hasil samun.

“Semua suspek yang juga penganggur berumur 38 hingga 44 tahun itu dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan, dua daripada tiga suspek terbabit mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes dadah.

“Suspek pertama pernah ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Manakala, suspek kedua pula memiliki rekod jenayah dan dadah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 12(3), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Jasmin berkata, penangkapan ketiga-tiga suspek terbabit berjaya menumpaskan sekumpulan penjenayah agresif dan berbahaya di daerah Tawau.

“Polis akan menggandakan usaha bagi mengesan penjenayah dan pesalah dadah yang lain menerusi operasi-operasi yang dijalankan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sumber: Utusan Borneo