Tiga pembantu menteri baharu angkat sumpah hari ini

editor@bayunews.net

KINABALU (26 JAN): Tiga pembantu menteri baharu mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dengan pelantikan baharu itu, rombakan pembantu menteri yang sedia ada turut dilakukan.

“Ia adalah usaha berterusan untuk memantapkan dan mengukuhkan kerajaan negeri Sabah.

Pelantikan pembantu menteri adalah untuk mengisi dua jawatan yang ditinggalkan Datuk James Ratib, bekas Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan yang kini Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat dan Datuk Jasnih Daya yang memilih untuk melepaskan jawatan Pembantu Menteri Kewangan untuk memberi laluan kepada pelantikan orang lain.

“Untuk membina pasukan yang mantap, saya telah melantik Datuk Ruslan Muharam daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, manakala Peto Galim dan Tan Lee Fatt dari Pakatan Harapan akan mengambil alih peranan mereka sebagai Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan dan Pembantu Menteri Kewangan masing-masing untuk menambah inklusif sedia ada pentadbiran,” katanya.

Empat pembantu menteri semasa yang terlibat dalam pertukaran portfolio ialah Dato’ Sri Dr Ruddy Awah (Pembangunan Luar Bandar), Datuk Harun Durabi (Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Fairuz Renddan (Belia dan Sukan) dan Datuk Andi Suryady Bandy (Pembangunan Perindustrian). Ruddy dan Fairuz dari GRS manakala Harun dan Andi Suryady dari UMNO/BN.

Beliau turut menekankan kepentingan Kerajaan Negeri di bawah pimpinannya untuk berfungsi sebagai satu pasukan yang bersatu-padu dalam berkongsi aspirasi yang sama dibina atas kepercayaan bersama dan hormat.

Tambahnya, kerajaan memerlukan pasukan yang kuat untuk momentum pembangunan dan memenuhi ikrar pilihan raya untuk rakyat dan negeri.