Tiga parah insiden kemalangan bas persiaran di Kota Kinabalu
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (24 OKT): Dua bas persiaran terlibat insiden kemalangan dekat sini mengakibatkan tiga para manakala 12 cedera ringan di Jalan Pantai berhampiran Harbour City, lewat Jumaat.
Kira-kira jam 7.08 malam pihak bomba menerima panggilan kecemasan, menurut kenyataan Ketua Balai Bomba dan penyelamat (BBP) Kota Kinabalu Ordine Gilu.
Seramai 10 anggota dan pegawai bersama tiga jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan membabitkan dua buah bas persiaran yang dinaiki oleh sekumpulan pelancong dipercayai sebuah bas persiaran melanggar bas yang berada di hadapan.
“Tiga mangsa mengalami kecederaan parah, manakala 12 lagi cedera ringan dan semua dari bas persiaran yang berada di belakang,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Menurutnya, semua mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) menggunakan ambulans dan van bomba.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kemalangan selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.18 malam,” katanya.