
Tiga Maahad Tahfiz Jadi Projek Perintis Modul Tahfiz Pertanian di Sabah
KOTA KINABALU :Tiga maahad tahfiz di Sabah telah dipilih sebagai lokasi projek perintis pelaksanaan Modul Tahfiz Pertanian, inisiatif yang menggabungkan hafazan Al-Quran dengan kemahiran pertanian.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam, berkata inisiatif ini sejajar dengan aspirasi pembangunan negeri di bawah hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam usaha memperkasakan sektor pertanian dan melahirkan generasi muda berkemahiran.
“Kita bersyukur kerana dapat merasmikan model Tahfiz Pertanian yang baru dimulakan ini. Pelaksanaan model ini memberi peluang kepada pelajar tahfiz memanfaatkan tanah institusi masing-masing untuk aktiviti pertanian secara produktif,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Modul Tahfiz Pertanian sempena Majlis Berbuka Puasa, Diskusi Kitab dan Tahlil Perdana pada Sabtu.
Antara maahad tahfiz yang terlibat ialah Maahad Tahfiz Datuk Haji Mansoor Sani, Kota Belud, Pondok Darul Iman Binsulok, Membakut dan Maahad Tahfiz Redhill, Ranau.
Ruslan berkata walaupun kawasan tanah di setiap maahad tidak luas, ia masih berpotensi diusahakan dengan penglibatan pelajar yang ramai. Pendekatan ini bukan sahaja membolehkan pelajar menguasai hafazan Al-Quran, malah turut melengkapkan mereka dengan kemahiran dalam bidang pertanian.
“Anak-anak ini akan mendapat dua kemahiran iaitu tahfiz Al-Quran dan ilmu pertanian. Aktiviti pertanian ini juga menjadi riadah untuk mengurangkan tekanan, selain berpotensi menjana pendapatan melalui hasil tanaman,” katanya.
Antara tanaman yang diusahakan di tiga maahad tahfiz itu termasuk kolam ikan, kebun durian, kelapa, pandan, mangga dan rambutan. Secara keseluruhan, projek perintis ini melibatkan kira-kira 14 ekar tanah wakaf.
Beliau menegaskan bahawa projek ini merupakan langkah awal sebelum diperluaskan ke lebih banyak institusi tahfiz pada masa akan datang, memandangkan masih banyak tanah wakaf yang belum dimanfaatkan sepenuhnya.





