
Tiga kediaman musnah fenomena air pasang besar di Kota Belud

Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
KOTA BELUD (27 DIS): Fenomena air pasang besar yang berlaku di Kampung Buah Pandai dekat sini memusnahkan tiga buah kediaman penduduk selepas dipukul ombak, lewat tengah malam tadi.
Difahamkan, ketiga-tiga rumah berkenaan rosak pada bahagian lantai termasuk sebuah lagi beranda rumah dilaporkan telah roboh.
Menurut Jurucakap Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.05 tengah malam.
Jelasnya, 18 anggota dan pegawai bersama jentera, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan pacuan empat roda serta lori dikerah ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi, didapati kebanyakan rumah di sekitarnya terjejas dan terancam untuk roboh susulan fenomena air pasang besar itu.
“Sebanyak 66 rumah turut terkesan disamping 10 peratus jambatan di kampung berkenaan mengalami kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sejurus kejadian, semua mangsa telah mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah saudara mereka dan sebahagian kecil berpindah ke Masjid Kg Buah Pandai, Kota Belud.
Tiada kemalangan jiwa atau mangsa yang cedera dilaporkan susulan kejadian.
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah turut berada di lokasi bagi operasi menyelamat.
Operasi ditamatkan pada jam 3.18 pagi tadi selepas pemantauan air laut mendapati semakin surut dan keadaan selamat dan terkawal.