
Tiga cedera insiden kereta bertembung di Beaufort

Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
BEAUFORT (29 DIS): Seorang lelaki dan dua perempuan cedera dalam kemalangan membabitkan kereta bertembung dengan kenderaan pelbagai guna MPV, dekat sini pagi tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.01 pagi.
Jelasnya, seramai tujuh anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi, didapati seorang lelaki dan dua wanita cedera selepas tersepit di dalam kereta sebelum dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan susulan.
“Pemandu dan lima lagi penumpang MPV terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan masih berada di dalam kenderaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Hasbullah berkata, pasukan bomba membuka kepala bateri kedua-dua kereta berkenaan sebagai tindakan awal bagi mengelak berlakunya sebarang bahaya.
Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 10.37.