
Terima suapan, lima penjawat awam bertugas di Semporna antara ditahan

Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (12 JAN): Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan enam lelaki termasuk lima penjawat awam yang bertugas di sebuah jabatan di Semporna kerana dipercayai meminta suapan bernilai RM20,000.
Difahamkan, kesemua mereka menjadi orang tengah meminta wang berkenaan ke atas seorang lelaki selepas anaknya disyaki melakukan kesalahan menyimpan minyak masak bersubsidi kira-kira 100 kotak untuk seludup ke pasaran luar negara.
Suapan diminta sebagai balasan untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap anak lelakinya.
Keenam-enam suspek berusia lingkungan 29 hingga 50 tahun itu ditahan oleh pegawai SPRM pada jam 10 malam dekat sini selepas menerima sebahagian wang bernilai RM5,000 daripada lelaki berkenaan.
Sementara itu Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Beliau berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Tambahnya kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Tawau untuk proses permohonan reman.