Tasawuf Sejati Kunci Pembangunan Akhlak, Tamadun

KOTA KINABALU: Kerajaan dan masyarakat Islam perlu bekerjasama erat untuk merealisasikan tasawuf sejati sebagai teras pembangunan akhlak, sosial, dan tamadun umat madani.

Menurut Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam, tanpa kerjasama tersebut usaha membugarkan tasawuf hanya akan menjadi kata-kata kosong dan sia-sia.

“Kerjasama ini penting dalam memastikan nilai-nilai tasawuf menjadi landasan bagi agenda pembangunan oleh itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah disaran untuk mengambil langkah strategik dengan mengiktiraf tasawuf sebagai disiplin ilmu penting dalam sistem pendidikan negeri.

“Ini termasuk pembangunan kurikulum holistik yang merangkumi aspek akidah, syariah, dan tasawuf di semua peringkat pendidikan bermula dari sekolah hinggalah institusi pengajian tinggi.

“Pada masa sama, langkah berhati-hati juga perlu diambil bagi melindungi ajaran tasawuf daripada disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya berucap merasmikan Pembukaan Kota Sufi Se-Nusantara 3.0 di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

Tambah beliau penggubalan undang-undang seperti enakmen yang khusus mengenai tasawuf dan tarekat muktabar dilihat sebagai satu cara untuk mengawal dan menguatkuasakan ajaran yang benar.

“Agensi-agensi kerajaan disarankan untuk menerapkan nilai-nilai keadilan dan ihsan dalam penyediaan dasar dan polisi, memastikan pembangunan fizikal seiring dengan pembangunan rohani rakyat.

“Kejayaan usaha ini tidak hanya bergantung kepada inisiatif kerajaan semata-mata kerana masyarakat juga memainkan peranan penting dalam menghidupkan ilmu tasawuf dalam kehidupan harian mereka,” jelasnya.

Tambah Ruslan, amalan rohani seperti zikir, wirid, tafakur, dan solat berjemaah perlu dijadikan rutin sebagai langkah tazkiyatun nafs (pembersihan jiwa) secara kendiri.

“Program ini diharapkan menjadi pendorong kepada budaya ilmu dan akhlak mulia, seterusnya menyumbang kepada usaha islah penambahbaikan diri dan masyarakat demi kesejahteraan negara,” ujarnya.

Penganjuran Kota Sufi Se-Nusantara 3.0 merupakan penganjuran ketiga setelah dilaksanakan di Negeri Sembilan dan di Indonesia sebelum ini.

Dalam program yang diadakan selama tiga hari di Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu menghimpunkan para ilmuan tasawuf dari lapan negara antaranya Indonesia, Filipina, Brunei Darussalam, Singapura dan Australia.