Tarian suku Murut Binta Beaufort bawa tuah Kumpulan Bimbingan Seni Cemerlang rangkul emas

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (19 DIS): Pentas pertandingan Kejuaraan Tari Kanak-Kanak Malaysia (KTKKM) ternyata menjadi medan sejarah buat pasukan dari negeri di bawah bayu apabila Kumpulan Bimbingan Seni Cemerlang (KBSC) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara(JKKN) Sabah dinobatkan sebagai juara dan memegang pingat emas selepas menewaskan lapan kumpulan KBSC negeri lain dalam pertandingan akhir, semalam.

Pegawai Kebudayaan JKKN Sabah yang juga Penyelaras Kumpulan itu, Hassanal Redzuan berkata, KBSC JKKN Sabah yang terdiri dari 15 orang kanak-kanak dan remaja berumur di antara 10 hingga 17 tahun, telah menempah sejarah unggul di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Jelasnya, Kumpulan tari itu telah mendapat sentuhan bimbingan Cikgu Zakaria Md Daud sebagai Koreografer, katanya semalam.

Menurut Hassanal, tarian yang dipertandingkan iaitu tarian ‘Sumiling Do Kang Kang Kaput’ ialah tarian tradisi dari suku kaum Murut Binta yang berasal dari Daerah Beaufort, Sabah.

“Tarian ini telah diolah kepada tarian etnik kreatif dan dipersembahkan di atas pentas Panggung Sari, Istana Budaya pada hari pertama pertandingan berlangsung.

“Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kami kepada YAB Ketua Menteri Sabah, Sabah Tourism Board, Leemyn’s Tailor, pihak persendirian dan para ibu bapa di atas sumbangan dana untuk membantu kami merealisasikan impian kanak-kanak ini,” katanya.

Sementara itu, johan bagi Festival Tari Malaysia 2022 juga diungguli pasukan dari Sabah menerusi Pratama Legacy.

Terdahulu, Pratama Legacy turut merangkul Anugerah Kareografer Terbaik, Achai Kiran dan Anugerah Penari Wanita Terbaik, Rosmitha Rebecca Kanalius dalam Festival Tari Malaysia peringkat Negeri Sabah pada awal September tahun ini.