Tarian Singa diselit tarian tradisi Sabah jadi tarikan

KOTA KINABALU: Tarian Singa sinonim dengan Tahun Baharu Cina tetapi uniknya, persembahan tarian itu di Sabah turut diselitkan dengan unsur tarian tradisi etnik negeri ini.

Ia antara keunikan yang dipersembahkan kepada pengunjung dan pelancong di Tanjung Seafood Restaurant, di Plaza Tanjung Aru, di sini, sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.

Dalam persembahan itu, penari Tarian Singa melakukan aksi tarian Magunatip masyarakat Murut yang mana penarinya menunjukkan kemahiran melangkah di antara batang buluh yang digerakkan mengikut rentak gong.

Pemilik bersama Tanjung Seafood, Ken Oliver, berkata pihaknya terpanggil untuk mengadakan persembahan Tarian Singa yang diselitkan dengan unsur tarian tradisi itu sebagai hiburan kepada pengunjung.

Katanya, ia juga sebagai satu tarikan tambahan khususnya kepada pelancong yang datang ke restoran itu sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan malam tadi.

“Ini satu keunikan sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan kami berharap agar pengunjung dan pelancong terhibur sepanjang menjamu selera di restoran kami.

“Bagi kami, persembahan ini bukan saja untuk memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina tetapi juga sebagai satu usaha untuk membantu memperkenalkan kepelbagaian tarian tradisi yang ada di Sabah,” katanya ketika ditemui, di sini, malam tadi.

Ken bersama isterinya, Cristina Petrus selaku pemilik bersama Tanjung Seafood, sebelum ini turut memperkenalkan beberapa tarian tradisi untuk dipersembahkan kepada pengunjung.

Cristina berkata, pelbagai tarian tradisi, antaranya daripada etnik Kadazandusun, Murut, Bajau dan Suluk dipersembahkan pada setiap malam sebagai hiburan pengunjung di restoran itu.

“Persembahan dibuat penari dari Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah pada setiap malam secara berselang seli mengikut tarian etnik.

“Contohnya jika malam ini ada tarian Sumazau, besok mereka akan buat tarian Igal-Igal atau Magunatip pula supaya ada kepelbagaian untuk tarikan pengunjung,” katanya.

Pasangan berkenaan yang juga ‘Youtuber’ yang dikenali dengan nama KenTash mula berkecimpung dalam perniagaan restoran makanan laut itu sejak setahun lalu melalui usaha sama dengan rakan mereka.

Bermula daripada itu, mereka mencari pendekatan untuk menjadikan restoran berkenaan lebih menarik, iaitu menerusi persembahan tarian tradisi.

“Pada mulanya kami dipanggil untuk mempromosikan restoran ini, ketika itu belum ramai pengunjung yang datang. Dari situlah kami melihat ada potensi dan akhirnya membuat usaha sama.

“Hasil usaha yang kita lakukan, maka sekarang restoran ini semakin popular, pengunjung datang dari seluruh Sabah. Pelancong luar terutama dari China, Taiwan dan Korea Selatan juga ramai yang datang,” katanya.

Katanya, restoran yang mempunyai kapasiti sehingga 600 pengunjung itu berada di kedudukan yang strategik berhampiran beberapa hotel yang menjadi pilihan pelancong untuk menginap.

Kedudukan itu, katanya memudahkan pelancong, khususnya dari China, Taiwan dan Korea yang terkenal sebagai penggemar makanan laut datang untuk menikmati pelbagai hidangan berasaskan makanan laut di restoran itu.

“Antara menu istimewa yang kita sajikan di sini ialah udang kara. Harga yang ditawarkan adalah berpatutan dan saiz hidangan juga pasti berbaloi,” katanya.