
Tapak Baharu 5 Ekar Dikenal Pasti, SK Bukau Dirancang Dibina Semula
BEAUFORT : Sebuah tapak baharu seluas lima ekar dikenal pasti untuk dibina Sekolah Kebangsaan (SK) Bukau yang baharu bagi menyelesaikan isu banjir yang sering berlaku sejak beberapa tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam berkata, masalah banjir yang berlaku itu turut menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk merangka perancangan serta memohon peruntukan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurut beliau, perancangan ini diharap dapat direalisasikan dalam tempoh lima tahun bagi menyelesaikan isu yang telah berlarutan bertahun-tahun dan memberi keselesaan serta keselamatan kepada murid dan warga sekolah.
“SK Bukau telah beberapa kali dilanda banjir, termasuk tiga kali dalam minggu ini sahaja. Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia menjejaskan pembelajaran anak-anak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau kawasan sekolah berkenaan yang dilanda banjir di sini pada Jumaat.
Ruslan yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata, antara punca utama banjir di kawasan Bukau adalah pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang belum siap sepenuhnya, termasuk sistem parit dan ‘culvert’ yang tidak sempurna, menyebabkan aliran air terganggu.
Sementara itu, bagi kawasan sekitar Suasa dan Lago, Ruslan berkata banjir berpunca daripada aliran air dari beberapa daerah lain seperti Tenom, Tambunan, Sook dan Tulid, menjadikan daerah Beaufort kawasan yang sukar dielakkan daripada banjir.
Namun katanya, kekerapan banjir yang berlaku memerlukan penyelesaian jangka panjang, khususnya bagi kemudahan pendidikan.
“Saya telah membawa perkara ini ke peringkat PPD dan juga Kementerian Pendidikan sebelum ini.
“Kita mahu memastikan anak-anak di Bukau dan kawasan sekitarnya tidak ketinggalan dalam pendidikan akibat bencana banjir,” tambah beliau.





