
Tanah wakaf dijadikan lokasi tapak pembinaan surau di Kg Lotong

Kudat : Tanah seluas satu ekar di Kampung Lotong di sini yang diwakafkan penduduk akan dijadikan sebagai tapak untuk pembinaan sebuah surau bagi memberi kemudahan kepada penduduk beragama Islam melaksanakan aktiviti keagamaan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam berkata, pihaknya melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) akan berusaha bagi melaksanakan hasrat penduduk di kampung berkenaan.
Katanya, satu kertas cadangan bagi pembinaan surau berkenaan akan dipanjangkan kepada Pengarah JHEAINS untuk diberi keutamaan.
“Saya dimaklumkan bahawa beberapa buah kampung yang terdekat di sini tidak mempunyai surau dan sudah tentu bagi penduduk beragama Islam dilihat agak sukar untuk mereka melakukan aktiviti keagamaan.
“Justeru itu, kita telah mendapat satu ekar tanah yang diwakafkan oleh penduduk kampung disini untuk mendirikan surau dan InsyaAllah saya akan meminta penolong pegawai daerah atau pegawai daerah Kudat dengan kerjasama JHEAINS Kudat untuk menyegerakan kertas cadangan.
“InsyaAllah saya akan berhubung dengan pengarah JHEAINS untuk memberi keutamaan kepada pembinaan surau di kampung ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan bakul makanan kepada 44 mualaf dan asnag di Sekolah Kebangsaan (SK) Lotong di sini hari ini.
Ruslan berkata, keperluan untuk mendirikan surau di kampung berkenaan dilihat perlu berikutan jarak yang jauh dari pekan berhampiran mengambil masa lebih satu jam.
Dalam pada itu, Ruslan berkata, bantuan bakul makanan itu disalurkan melalui Pusat Zakat Sabah (PZS) Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
“Hari ini seramai 44 orang asnaf yang dikenal pasti telah menerima sumbangan bakul makanan dan ini sebenarnya adalah hasil daripada pembayar zakat yang membayar zakat kepada MUIS menerusi pelbagai kategori zakat.
“Inilah yang kita akan kembalikan wang zakat kepada asnaf. Ini adalah tanggungjawab kita sebagaimana yang telah diberi untuk mencari asnaf yang sepatutnya menerima zakat dari PZS,” katanya.