Tanah runtuh di Kiulu musnahkan kedai runcit penduduk

SEYBI SABBY

editor@bayunews.net

TUARAN (8 NOVEMBER): Seorang peniaga dekat sini berdepan detik cemas apabila sebahagian kedai runcit miliknya musnah akibat kejadian tanah runtuh di Kampung Lubok Jalan Kiulu, kelmarin.

Runtuhan kira-kira jam 4.30 petang di lereng bukit sepanjang 50 meter itu mengakibatkan ruang dapur dan tandas terjejas.

Menurut kenyataan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 4.59 petang.

Katanya, seramai empat anggota bergegas ke lokasi sejauh 30 kilometer bersama satu kenderaan utiliti pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden itu.

Peniaga terbabit diminta mengosongkan kedai dan diarahkan untuk berpindah ke tempat lebih selamat.

Hasil tinjauan mendapati, insiden berlaku selepas hujan itu telah mengakibatkan beberapa tanaman buah-buahan turut terjejas dan satu laluan ke rumah penduduk lain terpaksa ditutup.

Operasi ditamatkan pada jam 6.25 petang.