
Taklimat Pembiayaan Produk Pelancongan berlangsung di Dewan Kadamaian 18 Mac ini

editor@bayunews.net
KOTA BELUD (16 MAC): Orang ramai dipelawa untuk menghadiri Taklimat Pembiayaan Produk Pelancongan yang akan berlangsung di Dewan Kadamaian Square Taginambur pada 18 Mac ini.
Anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) melalui Tekun Nasional Amanah Ikthiar Malaysia itu bertujuan memberi maklumat kepada para pengusaha pelancongan mengenai skim-skim pembiayaan yang disediakan oleh Kuskop melalui agensi-agensi dibawahnya.
Antara topik yang akan disampaikan dalam taklimat itu adalah berkenaan Potensi Pembangunan dan Proses Perlesenan serta pembiayaan oleh agensi-agensi Kuskop iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Corp, SME Bank dan Bank Rakyat.
Pengunjung yang hadir turut berpeluang bukan hanya mendengar taklimat malah didedahkan dengan skim-skim keusahawanan yang terdapat di agensi-agensi Kuskop.
Dijangka seramai 1,000 pengusaha pelancongan komuniti dan persendirian kawasan Kota Belud dan sekitarnya akan menghadiri taklimat berkenaan.
Majlis penutupan program akan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick sekaligus melancarkan Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) di bawah Tekun Nasional.