Taklimat Isu Semasa medium perkasa warga K-Komm

PENAMPANG (30 SEPT) : Taklimat Isu Semasa adalah medium bagi memperkasakan peranan warga Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-Komm) dalam  penyampaian maklumat kepada masyarakat.

Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd. Noor berkata, program tersebut dilaksanakan untuk memberikan penjelasan terhadap isu-isu semasa yang berbangkit berikutan dasar-dasar baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan.

“Program Taklimat Isu Semasa mampu meningkatkan keyakinan dan kefahaman rakyat terhadap kepimpinan dan dasar-dasar kerajaan.

“Program ini dilaksanakan agar dapat menjadi salah satu medium penyebaran maklumat yang sahih dan tepat kepada setiap lapisan masyarakat.

“Program ini juga salah satu usaha untuk menangani gejala penyebaran maklumat tidak sahih yang dilihat semakin berleluasa pada zaman ini,” ujar beliau.

Menurut Jainisah, kehadiran wakil-wakil jabatan serta agensi berkaitan yang turut serta dalam program berkenaan, dapat memastikan isu serta dasar-dasar kerajaan dapat disampaikan kepada golongan sasar dengan lebih berkesan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Taklimat Isu-Isu Semasa Peringkat Zon Sabah anjuran Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu (GSPI), Jabatan Penerangan Sabah.

Dalam program itu, sesi ceramah bertajuk “Inflasi dan Cabaran-cabaran Bagi Malaysia” disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Unit Dasar, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zunika Mohamed. 

Turut disampaikan, sesi ceramah bertajuk “Rukun Negara : Sebuah Titik Sedar Keluarga Malaysia” oleh Penolong Pengarah, Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Mohd Mujahid Halpi.

Hadir sama, Pengarah Penerangan Wilayah Persekutuan Labuan, Ab. Rasil Hajatil, Ketua Penolong Pengarah GSPI, Busmin Brahim dan Penolong Setiausaha Bahagian Komunikasi Strategik, K-Komm, Ain Rodziatul Amnah Ngassri.

Sumber: Penerangan