Suri rumah dilindungi Skim Keselamatan Sosial

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (14 DIS): Pelaksanaan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) menyediakan perlindungan bencana kepada golongan suri rumah.

Timbalan Pengarah Perkeso Negeri, Salwati Abdul Karim berkata, pendaftaran bagi SKSSR telah dibuka kepada semua suri rumah agar mereka mendapat perlindungan sekiranya terjadi bencana semasa menjalankan kerja-kerja suri rumah.

“Kita menggalakkan semua suri rumah untuk mencarum dan mendaftar dalam skim ini bertujuan melindungi mereka sekiranya berlaku apa-apa musibah semasa menjalankan kerja-kerja suri rumah.

“Skim ini menyediakan perlindungan bencana domestik seperti kemalangan atau penyakit melalui faedah oleh Perkeso yang akan melegakan pencarum demi meneruskan kehidupan,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Toh Puan Norlidah R.M. Jasni di Istana Seri Kinabalu, pada kelmarin.

Terdahulu, Toh Puan Norlidah menerima kunjungan Pengerusi Persatuan Usahawan Wanita Cemerlang Sabah (SAWENA), Ani Mohd Ridzuan dan rombongan.

Tujuan kunjungan berkenaan adalah untuk mengemukakan cadangan kolaborasi bersama Yayasan Nur Jauhar untuk memartabatkan wanita khususnya di kawasan luar bandar.

Turut hadir, Setiausaha SAWENA, Faineh Modirim dan Bendahari SAWENA, Noorhaizah Ramzah.-Penerangan