
Surau bukan hanya tempat beribadat, tetapi juga platform latih kepimpinan, disiplin dan pupuk nilai murni pelajar – Ruslan

SANDAKAN: Surau seperti ini bukan hanya tempat untuk menunaikan solat, tetapi juga platform melatih kepimpinan, membina disiplin, dan memupuk nilai murni dalam diri pelajar, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ruslan Muharam.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian Surau Al-Busyra di Sekolah Menengah Kebangasaan (SMK) Perempuan Sandakan di sini hari ini.
Dalam ucapannya, Ruslan menekankan bahawa pembinaan surau di sekolah bukan sekadar menyediakan ruang untuk beribadah, tetapi turut berperanan sebagai pusat pendidikan rohani dan pengukuhan nilai moral dalam kalangan pelajar.
“Surau seperti ini bukan hanya tempat untuk menunaikan solat, tetapi juga platform melatih kepimpinan, membina disiplin, dan memupuk nilai murni dalam diri pelajar. Ia adalah langkah penting dalam melahirkan generasi yang seimbang dari segi ilmu duniawi dan ukhrawi,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Surau Al-Busyra akan menjadi Pusat Pembentukan Sahsiah – Mendidik pelajar tentang disiplin, hormat-menghormati, dan tanggungjawab; Meningkatkan Amalan Keagamaan – Menggalakkan solat berjemaah, bacaan al-Quran, dan zikir; Mengukuhkan Ukhuwah – Mengeratkan hubungan antara pelajar, guru, dan staf sekolah; Ruang Ketenangan – Memberi peluang pelajar mengurus tekanan akademik melalui ibadah; dan Membentuk Kepimpinan – Melatih pelajar menjadi imam, bilal, dan penceramah kecil. Menurutnya lagi, pembinaan surau ini bukanlah satu usaha yang mudah di mana kos pembinaannya melebihi RM250 ribu dan hasil kesepakatan dan kerjasama erat antara pihak sekolah, PIBG, kerajaan negeri, serta para dermawan.
Surau ini dibina untuk menggantikan surau lama yang diperbuat daripada kayu sejak tahun 1999.
Ini adalah contoh terbaik bagaimana semangat gotong-royong dan kerjasama dapat melahirkan sesuatu yang bermanfaat untuk generasi akan datang. Saya amat menghargai usaha pihak sekolah, PIBG, guru-guru, ibu bapa, dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung,” tambah beliau.
Selain menjadi tempat ibadah, Surau Al-Busyra juga dirancang untuk berfungsi sebagai pusat aktiviti pendidikan, tazkirah, dan program motivasi bagi pelajar. Pihak sekolah juga bercadang untuk mengadakan kelas bimbingan agama secara berkala bagi memastikan pelajar terus mendapat pendedahan ilmu kerohanian di luar waktu pembelajaran.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada SMK Perempuan Sandakan atas jemputan untuk merasmikan Surau Al-Busyra ini. Majlis seperti ini bukan sahaja memupuk semangat kebersamaan, tetapi juga mengingatkan kita tentang pentingnya keseimbangan ilmu duniawi dan ukhrawi dalam pendidikan generasi muda,” tambahnya.
Beliau turut berharap agar surau ini terus diimarahkan dengan aktiviti keagamaan dan pendidikan yang bermanfaat, sekaligus menjadi pusat yang menyemai nilai murni dalam kalangan pelajar dan komuniti sekolah.