Sukan Warga UMS Sandakan melabuhkan tirai dengan jayanya
editor@bayunews.net
SANDAKAN (7 MAC): Buat julung kalinya lebih 20 jenis sukan dipertandingkan dalam acara Sukan Warga Universiti Malaysia Sabah (SWUMS) Sandakan, di sini.
Majlis perasmian penutupan disempurnakan oleh Dekan Fakulti Pertanian Lestari, UMS Sandakan, Prof. Madya Dr. Azwan Awang di Kafeteria Kolej Kediaman Lestari kampus berkenaan.
Berucap pada majlis itu, Azwan berkata, program bertujuan untuk membudayakan sukan dalam kalangan pelajar dan kakitangan serta mengeratkan lagi silaturahim sesama warga kampus.
“Di samping itu, ia juga bagi menggalakkan penglibatan pelajar dan staf UMS Sandakan untuk aktif bersukan dan mengamalkan budaya hidup sihat, ceria dan cergas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pentadbiran FPL Dr. Roslan Gimba memaklumkan penglibatan pelajar dan staf yang mewakili empat rumah sukan sangat menggalakkan.
“Syabas dan tahniah kepada semua yang turut serta mengambil bahagian dalam SWUMS kali ini,” katanya.
Kejohanan yang berlangsung selama lebih dua bulan itu menyaksikan rumah kuning muncul sebagai juara keseluruhan.
Hadir sama, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FPL, Prof. Madya Dr. Mohamadu Boyie Jalloh dan Ketua Seksyen Pusat Sukan UMS Sandakan, Andrew Majanggim.