SPRM tahan pengurus kanan syarikat terima suapan RM72,000

editor@bayunews.net

PETALING JAYA (19 OKT): Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini menahan seorang lelaki pengurus kanan syarikat pembinaan dan penyelenggaraan kerana disyaki terlibat menerima rasuah kira-kira RM72,000 bagi membantu proses pinjaman daripada sebuah agensi kerajaan berjumlah RM5 juta.

Kira-kira pukul 6 petang semalam, suspek berusia 53 tahun itu ditahan di di Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya bagi membantu siasatan.

Menurut satu laporan Utusan Malaysia, suspek dipercayai menerima wang daripada seorang pengarah urusan sebuah syarikat lain untuk membantu proses kelulusan permohonan pinjaman syarikat berkenaan.

“Syarikat pembinaan dan penyelenggaraan tempat suspek berkhidmat itu merupakan anak syarikat agensi kerajaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Mohd Anuar Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, suspek juga telah dibebaskan dengan jaminan SPRM setelah selesai keterangan diambil.