
Sokong Usaha Lahirkan Bakat Baru Sukan Bola Baling – Yakub

KOTA KINABALU : Kerajaan sentiasa memberi perhatian dan menyokong usaha melahirkan bakat-bakat baharu dalam sukan bola baling di negeri ini.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan, dengan komitmen yang berterusan oleh Persatuan Bola Baling Negeri Sabah (SABHA) serta bantuan kerajaan negeri pasti berupaya melahirkan atlet-atlet sukan bola baling yang bakal mengharumkan nama negara di pentas sukan dunia.
“Saya berharap agar kejohanan kali ini bukan sahaja berperanan sebagai medan untuk mencungkil bakat sukan dalam kalangan pemain, tetapi juga akan menjadi wadah perpaduan antara semua yang terlibat.
“Kejohanan pada kali ini amat bermakna kerana berpeluang melibatkan diri dan bertanding dalam satu semangat kesukanan yang tinggi serta berusaha menzahirkan komitmen kepada pasukan yang diwakili setelah dua tahun berada dalam keadaan fasa pandemik.
“Kita berharap semoga Sabah dapat melahirkan atlet sukan bola baling yang akan menjadi juara di peringkat kebangsaan dan pemain-pemain akan mewakili kita ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Bola Baling Terbuka Sabah Piala Datuk Seri Panglima Datuk Bung Moktar Radin 2022, di Kompleks Yayasan Tun Hamdan, semalam.
Dalam ucapannya, beliau turut mengumumkan sumbangan peribadi berjumlah RM10,000 kepada SABHA untuk membantu persatuan itu bergerak seiring dengan kecemerlangan prestasinya.
“Menyedari bahawa persatuan ini tidak akan mampu untuk membesar dan melebarkan sayapnya ke daerah-daerah tanpa dana, saya menyumbangkan secara peribadi RM10,000 kepada persatuan ini sebagai tanda sokongan dan dorongan agar sukan bola baling menjadi salah satu sukan teras di Sabah,” ujar beliau.
Namun begitu, Yakubah yang juga Adun Karambunai menyatakan perkara yang lebih penting ialah penyertaan dalam acara yang dipertandingkan dan kejayaan penganjuran acara ini adalah cerminan usaha bagi mewujudkan semangat setiakawan, semangat muafakat dan mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan.
Hadir mengiringi Yakubah ialah Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia, Pandak Ahmad, Presiden SABHA, Datuk Awang Aslee Lakat.
Pada kejohanan itu, seramai 837 peserta dan pegawai mewakili 48 pasukan dari Sabah, Sarawak, Terengganu, Selangor, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan serta satu pasukan dari Singapura akan berkampung di ibu negeri.
Kejohanan empat hari itu dikelolakan oleh 50 petugas terdiri daripada ahli jawatankuasa kerja, teknikal dan pengadil yang terlibat secara langsung, termasuk dua pengadil yang didatangkan khas dari Indonesia, Eka Prasetio dan Radityo Pambudi./Penerangan-