SMK Gadong Terus Cemerlang, Keputusan STPM 2025 Tunjuk Peningkatan Ketara

 

BEAUFORT :  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong terus mengekalkan momentum kecemerlangan apabila keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Semester 2 Tahun 2025 menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya.

Penaung Pusat Tingkatan Enam SMK Gadong Datuk Ruslan Muharam berkata, beliau merakamkan penghargaan kepada barisan pentadbir, guru-guru Tingkatan Enam serta para pelajar atas kejayaan dan komitmen yang ditunjukkan.

“Kejayaan ini mencerminkan kesungguhan seluruh warga sekolah dalam melaksanakan tanggungjawab dan peranan masing-masing.

“Usaha gigih guru dan pelajar telah mula menampakkan hasil yang membanggakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembentangan Analisis Prestasi STPM dan Pelancaran Strategi Peningkatan Keputusan STPM Tahun 2026 di sini baru-baru ini.

Ruslan berkata, daripada 42 calon STPM 2025, seramai 23 orang pelajar (54.8%) berjaya lulus semua mata pelajaran, manakala lima calon memperoleh keputusan cemerlang (3A ke atas).

Katanya, subjek Seni Visual dan Sains Sukan turut mengekalkan prestasi terbaik selama dua semester berturut-turut.

Antara pelajar yang menerima penghargaan atas kecemerlangan mereka ialah Nuradirah Matnizam, Nur Ayu Najihah Ariffin, Ahmad Shukri Mustapha Ali, dan Rafhana Abdul Sari.

Dalam pada itu, Ruslan turut melancarkan Strategi Peningkatan STPM 2026 yang menekankan beberapa inisiatif baharu, termasuk program intervensi akademik berstruktur, sistem mentor-mentee, pengajaran digital, serta pemantauan berasaskan data untuk memperkukuh prestasi pelajar.

“Saya yakin dengan pelaksanaan strategi ini, SMK Gadong akan terus melahirkan pelajar Tingkatan Enam yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berdaya saing, berdisiplin dan berintegriti,” tambah beliau.

Beliau turut memberi jaminan untuk terus menyokong keperluan sekolah dari segi penambahbaikan fasiliti, bantuan kewangan, dan program pembangunan pelajar, selaras dengan matlamat menjadikan Pusat Tingkatan Enam SMK Gadong sebagai model kecemerlangan di peringkat daerah dan negeri.

“Kejayaan tidak datang dengan mudah. Ia menuntut disiplin, kesabaran dan doa restu ibu bapa. Jadikan kejayaan hari ini sebagai pemangkin untuk melangkah lebih jauh,” katanya.