SHK lambang kebebasan belenggu COVID-19
KOTA KINABALU: Sambutan Hari Kebangsaan (SHK) 2022 merupakan lambang kebebasan rakyat dari belenggu COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Induk SHK Peringkat Negeri Sabah 2022, Datuk Seri Masidi Manjun berkata walaupun kebebasan ini bukan secara keseluruhan namun memberi anjakan positif untuk masyarakat bangkit daripada pandemik COVID-19.
“Kebebasan ini menjadikan semua golongan masyarakat boleh bebas bergerak melakukan pelbagai aktiviti sosial, keagamaan, riadah dan ekonomi tanpa sekatan yang ketat.
“Secara signifikan sambutan pada tahun ini melambangkan kebebasan kepada kita semua secara individu dan merupakan sambutan pertama selepas dua tahun negara bergelut dengan pandemik COVID-19.
“Oleh itu marilah kita bersama-sama menterjemahkan semangat kebersamaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah dimana sahaja agar nikmat kemakmuran kemerdekaan ini dapat diwariskan ke generasi seterusnya,” jelasnya.
Beliau yang juga Menteri Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut mengingatkan agar semua rakyat sentiasa bersatu padu dalam semua perkara.
“Pada era maklumat tanpa sempadan ini, adalah diharapkan rakyat jangan mudah goyah dan terpengaruh dengan propaganda yang disebarkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
“Kerajaan negeri pada ketika ini sentiasa memikirkan yang terbaik untuk rakyat kerana sebuah kerajaan tidak akan mampu melaksanakan segala perancangan tanpa sokongan dan kepercayaan daripada rakyatnya,” ujarnya kepada media sejurus Sesi Temubual Program Kami Bah Ini (KBI) di Studio HD TV RTM Sabah, pada Isnin./Penerangan-
.