
Sembilan keluarga terlibat kebakaran di Kg Bakalau terima sumbangan dari PZS

Beaufort : Sembilan keluarga yang terlibat dengan insiden kebakaran di Kampung Bakalau di sini Rabu lalu akan menerima sumbangan sebanyak RM1,000 daripada Pusat Zakat Sabah (PZS) bagi sebuah keluarga.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam berkata, sumbangan itu akan disalurkan dalam tempoh terdekat bagi membantu meringankan bebanan keluarga terlibat dengan musibah berkenaan.
“Hari ini saya hadir ke lokasi kebakaran rumah yang berlaku Rabu lalu bersama wakil pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias; pejabat daerah; pihak bomba dan PZS selain bertemu keluarga yang terlibat.
“Kita diperingkat MUIS akan cuba membantu sembilan keluarga ini dimana kita juga akan menyegerakan bantuan dalam bentuk kewangan lebih kurang dalam RM1,000 satu keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak kebakaran di Kampung Bakalau di sini hari ini.
Ruslan yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, Kerajaan sentiasa prihatin bagi membantu golongan memerlukan termasuk mereka yang terlibat dengan musibah seperti kebakaran.
“Pada kebiasaan, jika ada insiden seperti kebakaran memang kita akan memberi sumbangan daripada PZS sebab kita melihat ini merupakan satu musibah yang mereka juga tidak ingin berlaku.
“Kita dipihak Kerajaan hari ini juga prihatin kepada siapa saja atas kemanusiaan dan sudah tentu kita sangat prihatin bagi menyalurkan sumbangan seperti ini,” katanya.