Sanjungan kasih permata SMK Beaufort III manifestasi keutuhan para pendidik

Beaufort: Penganjuran majlis sanjungan kasih permata Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort III merupakan satu manifestasi kepada keutuhan iltizam pendidik terhadap kejayaan pelajar.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, majlis itu bukan sekadar menyampaikan anugerah tetapi turut meraikan usaha dan mengiktiraf perjuangan pelajar.

“Hari ini, kita tidak sekadar meraikan pelajar yang menerima anugerah.Hari ini kita menyambut kisah-kisah luar biasa. Kisah anak muda yang bangun seawal pagi, berjuang melawan rasa malas dalam diri demi ilmu.

“Kisah guru yang sanggup pulang lewat petang hanya kerana mahu memastikan pelajarnya memahami mungkin satu topik kecil yang dianggap tidak penting oleh insan lain. Kisah ibu bapa yang walaupun pendapatan sederhana, tetap membeli buku dan memberi harapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sanjungan Kasih Permata SMK Beaufort III Kali Ke-11 di sini pada Sabtu.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, semangat untuk terus belajar, berjuang dan semangat tetap tinggu walaupun dunia meletakkan seribu halangan.

Katanya, sekolah bukan hanya bangunan tetapi medan perjuangan ilmu dan nilai dan ia merupakan masa depan negara yang sedang dibentuk.

“Kejayaan yang kalian raih hari ini bukan hasil tuah. Kejayaan ini adalah hasil air mata, peluh dan doa. Kejayaan yang lahir daripada keberanian mencuba, jatuh dan bangun semula. Namun ingatlah, ini bukan penamat.

“Ini baru permulaan kepada perjalanan yang lebih mencabar.Dunia hari ini bukan sahaja perlukan bijak pandai tetapi perlukan insan yang berani, jujur, dan punya jiwa besar. Saya cabar anda semua.

“Buktikan bahawa pelajar dari SMK Beaufort III, bukan hanya boleh berjaya dalam peperiksaan tetapi juga boleh menjadi pemimpin, penyelidik, usahawan, pendidik dan paling penting, manusia yang memberi makna kepada dunia,” katanya.