Sang Badak masih ada peluang: Kim Swee

editor@bayunews.net

KUALA LUMPUR (16 NOVEMBER): Kekalahan 1-0 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Likas, semalam, bukan penamat kepada perjuangan Sabah dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee (gambar) menganggap pasukannya masih memiliki peluang walaupun akan mengharungi perlawanan kedua yang sukar di Stadium Sultan Ibrahim, Ahad ini.

Justeru, bekas pengendali skuad kebangsaan itu berkata, pasukannya perlu fokus untuk bangkit bagi memadam kelebihan satu gol yang kini dimiliki Harimau Selatan.

“Paling penting sekarang ini untuk kami kembali fokus kepada 90 minit perlawanan (aksi kedua). Ketinggalan 1-0 bukan satu jarak yang jauh untuk kami kembali (bangkit) dan 90 atau 120 minit di Johor apa sahaja boleh berlaku.

“Sudah tentu kami harus berada pada tahap terbaik untuk memastikan kami masih lagi dalam saingan sebelum berakhir perlawanan di Johor nanti,” katanya.

Perlawanan tegang di Stadium Likas itu menyaksikan jaringan tunggal Arif Aiman Hanapi pada minit ke-34 membolehkan JDT membawa pulang bekalan tipis.

Walaupun hanya bekalan tipis, ia penting buat JDT untuk menghadapi aksi kedua dengan lebih bersemangat selain berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua saingan tempatan musim ini.

Selain itu, Kim Swee turut memuji pemain muda yang diturunkan dalam perlawanan berdepan JDT dan menganggap mereka mendapat pengalaman cukup bermakna.

“Kami kehilangan beberapa tonggak, tapi pemain muda yang diturunkan menunjukkan sikap yang cukup positif dan tidak takut beraksi dalam perlawanan besar.

“Ia memberi kelebihan kepada mereka untuk musim akan datang dengan berdepan perlawanan yang intensiti tinggi macam ini,” katanya.-BH