Sandakan tuan rumah Maulidur Rasul 1443H
KOTA KINABALU (30 SEPT): Daerah Sandakan menjadi tuan rumah Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1443H/2022.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sabah, Datuk Saifulzaman Sangul berkata sambutan tersebut akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin pada 9 Oktober depan.
“Kita menjangkakan kira-kira 5,000 umat Islam akan menyertai sambutan ini Dewan Masyarakat Sandakan.
“Antara pengisian sambutan adalah majlis bacaan yasin, tahlil dan doa akan diadakan di Masjid Daerah Sandakan, disusuli pertandingan sepanduk dan perarakan yang disertai Tun Juhar serta barisan kepimpinan negeri.
“Selain itu, beberapa program lain juga akan diadakan antaranya forum keagamaan, ziarah asnaf dan ziarah marhaban,” ujarnya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Juhar di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Turut hadir, Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu @Aziz Jaafar, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pejabat Masjid, Wilayah dan Daerah (Jheains), Awang Juri Awang Tahir dan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Benedict Asmat.
Sumber: Penerangan