SABANA laksana pencarian bakat baharu Bola Jaring

SEYBI SABBY

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (14 NOVEMBER): Persatuan Bola Jaring Sabah (SABANA) giat melaksanakan aktiviti pencarian bakat baharu di negeri ini.

Presidennya, Chendramata Sinteh berkata, program bagi mengenal pasti generasi pelapis dibuat melalui pelbagai kejohanan oleh Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS), Sabah Games (SAGA), kejohanan terbuka di samping atlet-atlet yang berada di sekolah sukan negara.

“Atlet-atlet yang berpotensi ini dikenal pasti oleh jurulatih-jurulatih di peringkat sekolah ataupun daerah sebelum terpilih mewakili negeri, dan pada tahun ini kita berpeluang menghantar pasukan menyertai Sukan Malaysia (SUKMA).

“Menjadi satu kejayaan kepada para jurulatih kerana dapat mengetengahkan atlet negeri, kebangsaan dan antarabangsa di mana ketika ini seorang atlet Sabah berjaya mewakili Malaysia ke peringkat Asia,” katanya semasa Majlis Perasmian Kejohanan Bola Jaring Piala Toh Puan 2022.

Majlis perasmian bagi acara yang berlangsung dua hari bermula Sabtu di Yayasan Sabah itu disempurnakan oleh Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Seri Panglima Norlidah R.M Jasni.

Kejohanan kali kesembilan tersebut disertai 19 pasukan daripada pelbagai kementerian, jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bertujuan mempopularkan sukan bola jaring.

Empat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengambil bahagian iaitu Kota Marudu, Beaufort, Kota Kinabalu dan Sandakan serta Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Sabah, Lembaga Industri Getah Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Lembaga Pertubuhan Peladang, Politeknik Kota Kinabalu, Sedafiat Sdn Bhd dan Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu turut menyertai acara yang tertangguh dua tahun tersebut.

Tidak ketinggalan, Sabah Electricity Sdn Bhd, Kementerian Pembangunan Perindustrian, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOM), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, dan Jabatan Penjara Malaysia.-Penerangan