Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (9 DIS): Pembantu Menteri Pelancong, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai berkata, kerajaan negeri akan mengalakkan usaha menarik lebih ramai pelancong India susulan perkembangan pesat pasaran keluar bagi pelancongan negara itu.
Beliau menjelaskan industri pelancongan negeri perlu dipelbagaikan dan tidak hanya bergantung kepada kehadiran pelancong dari China.
“Sudah tiba masanya Sabah untuk mempelbagaikan pangkalan pelanggan industri pelancongan.
“Sabah terkenal dengan tarikan sumber alam semula jadi, penawaran produk mewah dan pengalaman percutian yang unik akan mampu menarik lebih ramai pengunjung dari India.
“Pelancong dari India turut mengeluarkan perbelanjaan lebih tinggi, oleh itu kita mahu mereka juga berada di negeri ini.
“Malah, lebih 6,000 pelawat India datang ke Sabah semasa pra-pandemik pada 2019 dan ini menunjukkan minat yang jelas mereka berkunjung ke negeri ini walaupun jumlahnya sederhana, namun masih wajar,” katanya dalam kenyataan di sini hari semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) percaya pihaknya dalam usaha mengejar pasaran India, dan meletakkan harapan lonjakan ketibaan pelancong negara itu pada tahun ke depan.
Hubungan langsung antara India dan Sabah akan diwujudkan pada masa akan datang sejurus peningkatan rekod ketibaan pelawat India meningkat.
Lewat Rabu, STB mengadakan anjuran makan malam untuk Ejen Pelancongan Pasaran India melalui Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).
Delegasi Ejen Pelancongan Pasaran India diketuai oleh Pengarah AsianWorld Holidays Sdn Bhd George Kandiah dalam sesi lawatan suai kenal mereka ke Sabah.
Dalam pada itu joniston berkata, mengenai kekerapan penerbangan semasa, terdapat 163 penerbangan sambungan mingguan antara Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu tersedia melalui MAS, Air Asia dan Batik Air.
Beliau berkata, seramai 3,247 pelancong dari India direkodkan tiba ke negeri ini bagi tempoh antara Januari hingga Oktober tahun ini.
Terdahulu, Joniston menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B. Nagabhushana Reddy pada Selasa lepas dan berpeluang bertukar-tukar pandangan mengenai potensi kerjasama dan pembangunan pelancongan.
Dalam pertemuan itu, Reddy turut memaklumkan mengenai keperluan untuk bekerjasama dengan destinasi pelancongan popular kerana orang India mengembara secara meluas dan dalam jumlah yang besar di seluruh dunia.
Terdahulu, kira-kira 700,000 kehadiran pelawat direkodkan adalah mereka dari India bagi tahun 2019.