
Sabah tidak kenakan SOP tambahan buat pelawat China: Hajiji

editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (12 JAN): Sabah tidak akan mengenakan prosedur operasi standard (SOP) tambahan bagi pengembara dari China untuk masuk ke negeri itu, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.
Beliau berkata, keperluan mengikut SOP mengkehendaki pengembara dari negara itu hanya perlu mengemukakan keputusan negatif ujian PCR dan juga telah divaksinasi seperti yang ditetapkan di negara mereka, bermula Ahad lepas.
“Dengan sempadan China dibuka secara rasminya tiga hari lepas pada 8 Jan, kami mengalu-alukan kepada pelawat dari China ke negeri kami semula,” katanya ketika berucap di majlis resepsi Tahun Baharu Cina yang dianjurkan oleh Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu Huang Shi-Fang di sini, semalam.
Hajiji berkata, Sabah berharap untuk menerima lebih banyak pelaburan dari China pada masa hadapan dengan ekonomi dan kerjasama antara China dan negeri itu yang terus meningkat.
“China telah menjadi jiran yang baik. Ketika waktu sukar dan pada ketika wabak, kerajaan China menerusi Konsulat China di sini telah memberikan pelbagai bentuk bantuan untuk Sabah, terutamanya bantuan perubatan dan kami amat menghargainya,” katanya.-Bernama