KOTA KINABALU (6 MEI) : Kementerian Desa Dan Wilayah (KKDW) menyalurkan RM600 juta bagi pembangunan kawasan daif di Sabah.
Timbalan Perdana Menteri I merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata jumlah tersebut bagi membangunkan Tongod, Kota Marudu dan Pitas.
“Melalui perbincangan dengan Perdana Menteri, kita akan menaik taraf infrastruktur di daerah berkenaan antaranya melalui program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Bekalan Air Luar Bandar (BALB).
“Selain membaik pulih atau membina rumah golongan miskin daif, KKDW juga akan memantau projek industri dengan melaksanakan kerjasama pembangunan usahawan serta koperasi,” katanya semasa sidang media Majlis Ramah Mesra Bersama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu.
Zahid turut memaklumkan peruntukan RM50 juta bagi projek menaik taraf dan baik pulih Institusi Pendidikan MARA (IPMA) tahun 2023.
“Ia merangkumi RM25 juta kepada MRSM, RM17 juta kepada Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) manakala RM8 juta lagi kepada Kolej MARA (KM) dan Kolej Profesional MARA (KPM).
“Kita berbangga kerana MARA dan MRSM mempunyai standard pendidikan yang baik dan inilah yang seharusnya kita pertahankan termasuk dari segi infrastruktur serta pengisiannya,” ujarnya.
Selain itu, Zahid mengumumkan MRSM Kota Kinabalu akan dikenali sebagai MRSM Tan Sri Musa Aman sebagai mengenang jasa mantan Ketua Menteri Sabah tersebut dalam pembangunan MARA.
Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Sri Dr. Noraini Ahmad, Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.-Japen