Sabah sambut baik perkembangan tuntutan individu mengaku waris kumpulan Sulu

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (4 FEB): Sabah menyambut baik keputusan Mahkamah Perlembagaan Sepanyol menolak rayuan perlembagaan luar biasa yang difailkan sekumpulan individu yang mendakwa diri mereka sebagai ‘waris’ kumpulan Sulu terhadap pembatalan pelantikan Dr Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara dalam pertikaian berhubung tuntutan mereka terhadap Malaysia.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan mahkamah itu amat dialu-alukan oleh kerajaan Sabah dan seluruh rakyat negeri.

“Kita serahkan kepada Kementerian Luar Negeri dan menteri bertanggungjawab untuk dapat selesaikan perkara ini dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kenderaan pacuan empat roda kepada 21 pejabat kawasan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat di Menara Kinabalu di sini, semalam.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, Mahkamah Perlembagaan Sepanyol menolak rayuan itu kerana penuntut menarik balik tuntutan mereka bagi melantik penimbang tara susulan keputusan Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid (HCJM) pada 29 Jun 2021 yang membatalkan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara.

HCJM adalah mahkamah Sepanyol yang pada mulanya melantik Stampa pada 2019 (tanpa mendengar terlebih dahulu daripada pihak Malaysia) dan pada 29 Jun 2021, susulan permohonan kerajaan Malaysia, HJCM membatalkan pelantikan Stampa dan semua tindakannya sebagai penimbang tara termasuk ‘preliminary award’ yang telah diberikan Stampa.-Bernama