Sabah muncul sebagai negeri ulung pemindahan teknologi aeroangkasa di Malaysia

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (14 FEB): Sabah muncul sebagai negeri ulung dalam pemindahan teknologi aeroangkasa bertahap tinggi di Malaysia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Arifin Mohd Arif berkata ke arah merealisasikan hasrat tersebut, pihaknya telah melantik Syarikat Sovereign Sengalang Sdn. Bhd. bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) dan mengkaji kesesuaian pembinaan Sabah International Space Launch Industrial Centre (SLIC).

“Hari ini kita telah menyerahkan Surat Niat ataupun Letter of Intent bagi memulakan kajian kebolehlaksanaan pembinaan Sabah Space Launch kepada Syarikat Sovereign Sengalang Sdn. Bhd.

“Sekiranya kajian ini membawa indikasi positif, Sabah bakal membina Space Launching Facility yang ke-16 di dunia dan akan meletakkan nama Malaysia menjadi negara ke-9 yang memiliki fasiliti sedemikian.

“Inisiatif ini juga bakal melonjakkan Sabah menjadi negeri ulung dalam konteks pemindahan ilmu dan teknologi aeroangkasa,” katanya selepas Penyerahan Surat Niat ataupun Letter of Intent kepada Timbalan Pengerusi Eksekutif, Ezra Effendi sempena Majlis Amanat Menteri KSTI di sini, pada Selasa.

Menurut Arifin, kementeriannya akan menubuhkan Sabah Space Industrial Corporation untuk bekerjasama rapat dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bagi menjalankan inisiatif membangunkan sektor aeroangkasa di negeri ini.

“Kita akan menubuhkan sebuah agensi yang dikenali sebagai Sabah Space Industrial Corporation.

“Malah, beberapa siri perbincangan telah pun diadakan bersama MYSA dan sebuah syarikat tempatan negara.

“Oleh itu, sebagai langkah pertama, kajian kebolehlaksanaan akan dilaksanakan bagi mengkaji kesesuaian pembinaan SLIC di lokasi yang akan ditentukan kelak,” jelasnya.

Mengulas lanjut ujar Arifin, apabila terlaksana, SLIC bakal memacu pertumbuhan 300 hingga 500 syarikat hiliran (downstream) dalam industri aeroangkasa, sekaligus memberi limpahan dan kemakmuran ekonomi di Sabah.

“Industri ini akan membuka lebih 90 peluang pekerjaan bergaji tinggi dengan lebih kurang 5,000 peluang pekerjaan secara keseluruhannya,” tambahnya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pembantu Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Harun Durabi dan Setiausaha Tetap KSTI, Datuk Zainudin Aman.