Sabah lakar sejarah bedah otak pesakit secara sedar kali pertama
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (16 JAN): Satu lagi kejayaan berjaya dilakar bagi negeri Sabah apabila Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menerusi Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2 dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melakukan pembedahan otak pesakit dalam keadaan sedar buat pertama kalinya di sini.
Menurut Pengarah, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, pembedaan yang dikenali sebagai ‘awake’ craniotomy’ itu memakan masa selama enam jam ke atas pesakit wanita berusia 50 tahun yang mengalami simptom sakit kepala sejak Oktober 2022.
Katanya, pesakit terbabit disahkan menghidap ‘multiple meningioma’ di bahagian kiri otak setelah didiagnosis di Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan.
“Keadaan klinikal dan gejala yang dialami pesakit semakin teruk sehingga menjejaskan kualiti kehidupannya.
“Keputusan untuk melakukan pembedahan otak menggunakan teknik ‘awake craniontomy’ itu bertujuan merawat dan seterusnya membolehkan pesakit menjalani kehidupan lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman rasmi Facebook JKNS, semalam.
Rose Nani juga berkata pesakit tersebut telah menerima penerangan secara menyeluruh daripada pakar bedah dan pakar bius yang terlibat dalam pelaksanaan pembedahan itu disamping pesakit juga menyatakan keyakinan terhadap pasukan yang membedahnya.
“Sepanjang pembedahan ini, pesakit dapat mengeja nama dan menyanyikan sebuah lagu ringkas.
“Selepas pembedahan, pesakit hanya mengalami gejala sakit kepala sedikit sahaja dan dibolehkan minum air dan makan hidangan lembut keesokan harinya,” katanya.
Selain itu, beliau juga menjelaskan HQE 2, HDOK dan UMS telah mengadakan perbincangan rapi dan persiapan untuk pembedahan itu sejak November 2022 lagi.
Pembedahan tersebut katanya merupakan hasil usaha pakar bedah otak HQE 2, pakar bius otak dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS dan pakar perunding kanan pembedahan otak dari Hospital Sungai Buloh.