Sabah komited rekod prestasi terbaik pemuliharaan alam sekitar: KM
SEYBI SABBY
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (4 NOVEMBER): Kerajaan Sabah komited ke arah memastikan rekod prestasi baiknya dalam pemuliharaan alam sekitar berterusan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri komited untuk merealisasikan pelbagai inisiatif pemuliharaan berterusan yang sudah pasti akan menyumbang ke arah matlamat keseluruhannya iaitu kelestarian hijau.
“Antara lain, kita komited untuk menyokong Dasar Hidupan Liar Sabah dan Pelan Tindakan Penyu yang dibangunkan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah. Melalui dasar ini, nilai sebenar hidupan liar kepada ekonomi dan kesejahteraan sosial Sabah akan dapat direalisasikan dan dipertingkatkan.
“Kita juga komited untuk menyokong pewartaan Teluk Darvel di Lahad Datu sebagai Kawasan Perlindungan Marin. Perjanjian persefahaman (MoU) baru-baru ini ditandatangani antara Taman Sabah dan WWF-Malaysia untuk kerjasama lima tahun untuk menjalankan penyelidikan dan kajian di Teluk Darvel menandakan langkah pertama kita ke arah matlamat akhir ini. Syabas kepada kedua-dua Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Taman-Taman Sabah dan semua pihak lain yang telah berusaha untuk menjayakan perkara ini,” katanya.
Hajiji berkata, pembangunan ekonomi adalah perlu untuk meningkatkan kehidupan dan taraf hidup rakyat Sabah, namun Kerajaan Negeri mengakui pembangunan ini perlu mampan bagi memastikan generasi akan datang turut mendapat manfaat daripada keuntungan yang mungkin diperoleh hari ini.
“Dengan mengimbangi keperluan jangka pendek dan jangka panjang, kita akan memastikan belia hari ini tidak akan diletakkan pada kedudukan yang kurang bernasib baik pada masa hadapan.
“Selaras dengan ini, Kerajaan akan mengkaji untuk merumuskan garis panduan perlombongan yang bertanggungjawab untuk industri perlombongan, dan menetapkan piawaian kemampanan untuk projek infrastruktur.
“Saya amat percaya bahawa inisiatif dan komitmen Sabah ini akan memacu Malaysia ke hadapan dengan cita-cita yang jelas untuk mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-50 WWF-Malaysia di Shangri-La Tanjung Aru, semalam. Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Masidi Manjun.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri memahami kepentingan pemuliharaan khususnya di Sabah yang terkenal di peringkat antarabangsa sebagai kawasan hotspot biodiversiti.
“Kita menyedari bahawa perlindungan alam sekitar dan pembangunan mampan boleh berjalan seiring dan telah berusaha untuk memastikan ekosistem unik kita terus dilindungi,” kata Hajiji.
Menurutnya, sejak inisiatif pemuliharaan dimulakan pada 2007, Kerajaan Negeri telah mencapai kemajuan yang ketara dalam pemuliharaan hutan.
Lebih 26 peratus daripada keluasan tanah negeri atau kira-kira 1.9 juta hektar, telah diwartakan sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA), jelasnya sambil menambah, menjelang 2025, Kerajaan Negeri akan memperluaskan Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) kepada 30 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah Sabah.
“Ini selaras dengan Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) negeri, yang telah mengekalkan 50 peratus kawasan daratan Sabah di bawah liputan hutan. Kita telah meningkatkan litupan kawasan berhutan kepada 64 peratus di mana 52 peratus daripadanya diwartakan sebagai Hutan Simpan, Taman dan Kawasan Pemuliharaan Hidupan Liar, dan kita telah memulihkan 2,000 hektar hutan simpan.
“Salah satu objektif ekonomi dasar Kerajaan Negeri adalah untuk mengurangkan pergantungan kepada hutan semula jadi sebagai sumber pendapatan utama. Kerajaan Negeri menyasarkan untuk mencapai 400,000 hektar ladang hutan menjelang tahun 2036, dengan kapasiti pengeluaran antara enam juta hingga lapan juta meter padu setahun.
“Kita berusaha untuk mencapai keseimbangan antara ekonomi dan pemuliharaan dan kekal komited terhadap pemuliharaan aset semula jadinya,” kata Hajiji.
Selain itu, katanya, Sabah menyasarkan untuk menjadi peneraju global dalam pengeluaran minyak sawit yang mampan.
“Dalam hal ini, Sabah telah memulakan inisiatif dasar untuk melindungi daya tahan sektor minyak sawit sebagai asas ekonomi dan pembangunan mampan Sabah. Inisiatif ini akan dilakukan melalui pelaksanaan Pensijilan Bidang Kuasa Minyak Sawit Lestari (JCSPO) dan pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) secara serentak di Sabah ke arah mencapai piawaian Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Sabah adalah negeri pertama yang berusaha ke arah pensijilan ini,” tambahnya.
Beliau berkata, Taman Marin Tun Mustapha juga merupakan kawasan pemuliharaan marin yang penting, sambil menambah, pada 2016, semua pulau dan pulau kecil di dalam kawasan itu telah diwartakan sebagai taman marin.
“Ini termasuk tiga pulau utama iaitu Banggi, Balambangan dan Malawali. Dari segi ekopelancongan, tidak dinafikan usaha ini akan memberi manfaat kepada ekonomi dan rakyat,” katanya.
Ketua Menteri juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membolehkan Sabah mencapai kejayaan penting itu.
Presiden WWF-Malaysia, Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz, Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif, Sophia Lim turut hadir.